Vaksin: 94.2 peratus laporan tidak timbul risiko

PUTRAJAYA 1 Jan. – Sebanyak 94.2 peratus daripada 20,131 Laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) Vaksin Covid-19 yang diterima Kementerian Kesihatan (KKM), tidak menimbulkan risiko kesihatan kepada penerima vaksin.

Ketua Pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata antara kesan advers (kesan yang tidak diingini) yang kerap dilaporkan oleh penerima vaksin adalah demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan 20,131 laporan AEFI yang diterima untuk vaksin Comirnaty (Pfizer), hanya sebilangan kecil iaitu 1,162 laporan dikategorikan sebagai AEFI serius.

Dalam satu kenyataan hari ini, Dr. Noor Hisham berkata, daripada 1,162 laporan AEFI serius, hanya satu kes radang otot jantung (myocarditis), yang berkemungkinan mempunyai hubung kait dengan vaksin yang diambil.

Menurut Dr Noor Hisham,  sejak bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari 2021 hingga 26 Disember 2022, sejumlah 44,813,270 dos vaksin Comirnaty diberikan.

Terdapat dua jenis vaksin Covid-19 mRNA yang diberikan pendaftaran bersyarat oleh PBKD iaitu Comirnaty (Pfizer) dan Spikevax (Moderna) dan pada masa ini, hanya vaksin Covid-19 mRNA Comirnaty (Pfizer) digunakan dalam PICK.

KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), memantau secara berterusan risiko keselamatan semua vaksin berdaftar yang digunakan di Malaysia termasuk vaksin Covid-19 melalui pemonitoran laporan AEFI.

Katanya, kajian keselamatan vaksin tempatan (SAFECOVAC) yang dijalankan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Klinikal, mendapati bahawa profil keselamatan vaksin Comirnaty adalah pada tahap yang boleh diterima dan tidak menunjukkan peningkatan risiko, antaranya myocarditis, strok dan myocardial infarction dalam tempoh 21 hari selepas penerimaan vaksin.

“Oleh itu, KKM menggalakkan orang ramai untuk terus mendapatkan suntikan dos penggalak pertama dan kedua, terutama bagi mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai penyakit komorbid,” katanya.

Related posts

Leave a Comment