Bekalan air di 472 kawasan pulih

SEPANG 27 Dis. – Bekalan air bagi 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor yang terjejas berikutan pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pulih sepenuhnya pukul 12 tengah malam tadi.

Air Selangor dalam kenyataan pagi ini menyebut kawasan terbabit ialah daerah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27).

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” kata kenyataan syarikat itu pada awal pagi ini.

Air Selangor turut menasihatkan pengguna untuk membiarkan air daripada pili mengalir sehingga jernih, sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Sabtu lalu, LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihenti tugas akibat insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Pencemaran bau dipercayai berpunca daripada tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Related posts

Leave a Comment