Restoran tikus jamah ayam goreng ditutup 14 hari

PUTRAJAYA 25 Dis. – Sebuah restoran di Pandan Indah, Kuala Lumpur, diarah tutup 14 hari selepas tular video menunjukkan seekor tikus menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan di premis berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata arahan dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Katanya, ia adalah susulan pemeriksaan oleh penguat kuasa kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat di premis itu semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan makanan di premis berkenaan tidak memuaskan.

“Sehubungan itu, tindakan penutupan dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan arahan penutupan selama 14 hari telah dikeluarkan.

Sebanyak enam notis kompaun turut dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat,” katanya.

Jumaat lalu, KKM meminta orang ramai memberikan maklumat berhubung video menjijikkan yang memaparkan seekor tikus sedang ‘menjamah’ ayam goreng dalam pemanas makanan sebuah restoran.

Video tular itu dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter, mendakwa ia berlaku ketika dia sedang makan di premis berkenaan.

Dr. Noor Hisham menegaskan Kementerian memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan, dan meminta orang ramai terutama pengusaha dan pengendali makanan menggalas tanggungjawab memastikan aspek keselamatan makanan terjaga bagi mengelak keracunan dan penyakit bawaan makanan.

Pengguna juga disarankan memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) apabila membeli atau makan di luar rumah.

Orang ramai atau pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan negeri atau melalui melayari http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di www.facebook.com/bkkmhq .

Related posts

Leave a Comment