SAR tamat secara rasmi 12 tengah hari ini

HULU SELANGOR 25 Dis. –  Misi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm Jalan Genting-Batang Kali di sini, ditamatkan secara rasmi pada pukul 12 tengah hari ini.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani mengumumkan misi itu tamat selepas pasukan SAR merumuskan tiada lagi mangsa tragedi terbabit dilaporkan hilang atau belum ditemui, selaras Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja teknikal di lokasi akan diteruskan beberapa agensi berkaitan, antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terbabit, termasuk rakan media yang bertungkus-lumus sepanjang misi SAR ini.

“Inilah satu-satunya operasi yang setiap agensi memainkan peranan sesuai Arahan 20 MKN dan tiada pertindanan tugas sepanjang misi, sekali gus menjadi rujukan bagi apa-apa kerjasama pengurusan bencana yang mungkin berlaku pada masa depan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Petang semalam, mayat mangsa terakhir tragedi tanah runtuh,  seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan 4.53 petang semalam di Sektor A.

Ini menjadikan 31 orang terkorban di mana 20 mayat ditemukan di Sektor A (Hill View), manakala 10 di Sektor C (Riverside) dan seorang di Sekstor B (Farm View).

Acryl Sani mengakui faktor cuaca menjadi satu-satunya cabaran dihadapi petugas misi SAR berkenaan, menyebabkan petugas berdepan risiko tinggi ketika bertugas.

“Justeru, kita perlu bersujud syukur dan membaca doa selamat kerana semua petugas SAR terselamat sepanjang menjalankan misi.

“Terima kasih juga kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang teruja membantu, tetapi kali ini kami tidak dapat gunakan khidmat anda kerana risiko di lokasi kejadian, selain tidak mahu pihak tidak berkelengkapan atau berkemahiran menyertai misi ini,” katanya.

Beliau juga mengakui tidak berdepan kesukaran menggerakkan sumber tenaga berikutan kerjasama erat pelbagai agensi, selain keperluan jentera turut mencukupi.

Berdasarkan statistik, hampir 12 jentera berat daripada pihak swasta dan pelbagai agensi digunakan.

Acryl Sani antara lain juga meminta pihak berkaitan segera menyemak semula garis panduan aktiviti riadah di lokasi berisiko, termasuk di kawasan cerun dan berhampiran sungai bagi mengelak kejadian sama berulang.

(Foto utama PDRM)

Related posts

Leave a Comment