Zahid tidak sepatutnya dilantik TPM – Dr M

PUTRAJAYA 24 Dis. –  Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak sepatutnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri berikutan Presiden UMNO itu sedang menghadapi tindakan mahkamah.

 Bekas Perdana Menteri itu berkata, Timbalan Perdana Menteri adalah orang yang akan mengambil alih daripada Perdana Menteri jika sesuatu berlaku.

 “Jadi kita akan dapat seorang Perdana Menteri masih berdepan tuduhan di mahkamah. Orang melihat oleh kerana dia Timbalan Perdana Menteri mahkamah tidak boleh mengambil tindakan terhadapnya. Ini salah dari segi undang-undang kerana undang-undang tidak mengambil kira siapa kita,’ katanya.

 Dalam satu temu bual dengan BH, Dr Mahathir berkata, mahkamah mungkin mendapat tekanan dan undang-undang mungkin diketepikan yang akhirnya negara tidak ada rule of law.

Dr. Mahathir pada 7 Disember lalu berkata, pentadbiran Anwar dianggap tidak berpegang kepada kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ apabila melantik seseorang yang sedang berdepan kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, tindakan Anwar adalah sesuatu yang janggal dan tidak memungkinkan usaha kerajaan membersihkan negara daripada gelaja rasuah dan kleptokrat.

Menjawab pertanyaan bahawa pelantikan Zahid bagi menjamin kestabilan kerajaan, Dr. Mahathir berkata, selepas pilihan raya umum ke-14, Datuk Seri Najib Razak  sebagai Presiden UMNO meletak jawatan selepas kalah dan kemungkinan dihadapkan ke mahkamah.

“Sepatutnyan Zahid juga buat begitu kerana dia mempuyai masalah sama dengan Najib, maka dia patut tak pegang apa-apa jawatan .

Selepas itu baru kita dapati mahkamah tidak terganggu dengan tekanan bahawa orang ini adalah pembesar dan undang-undang pembesar tidak patut dikenakan seperti orang biasa. Ini melanggar konsep rule of law,’katanya.

Anwar bagaimanapun sebelum ini mempertahankan pelantikan Ahmad Zahid yang katanya walaupun didakwa tetapi belum ada hukuman.

“Kebetulan juga dia adalah Presiden UMNO dan Pengerusi BN. Dalam Kerajaan Perpaduan ini saya ambil kita semua faktor itu,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes ‘prima facie’ bagi semua tuduhan terbabit.

Related posts

Leave a Comment