Peningkatan kes harian Covid-19

KUALA LUMPUR : Kes baharu Covid-19 kembali meningkat hari ini dengan merekodkan 1,671 kes berbanding 1,576 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif di negara ini 331,713 di mana kes aktif dengan kadar kebolehjangkitan adalah sebanyak 14,442 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, dua adalah kes import termasuk seorang rakyat tempatan yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Sebanyak 236 kes (14.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster DTI Juru (206 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (24 kes), Kluster Tembok Tapah (3 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (2 kes), dan Kluster DTI Sepang 2 (1 kes).

Sehingga kini seramai 151 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 64 daripadanya masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat empat kematian membabitkan warganegara dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian disebabkan oleh Covid-19 sebanyak 1,229 kes atau 0.37 peratus.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan dua kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Sabah dan Kedah. Kesemua kes kematian melibatkan warganegara.

Beliau turut memaklumkan sehingga pukul 12 tengah hari ini terdapat 1,585 kes sembuh dilaporkan yang menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 ialah 316,042 kes bersamaan 95.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Related posts

Leave a Comment