Selamat Hari Krismas

KUALA LUMPUR 25 Dis. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Natal kepada masyarakat Malaysia yang beragama Kristian.

Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Istana Negara, hari ini.

“Semoga perayaan ini membawa keamanan, kemakmuran, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada semua masyarakat yang beragama Kristian di Malaysia,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia membenih budaya perpaduan dan membuang mesej berbaur kebencian dengan sikap berkasih sayang juga rahmah.

Menerusi perutusan Hari Krismas 2022 di yang dikongsi di platform media sosial beliau , Perdana Menteri turut menyeru rakyat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

“Hari Krismas adalah hari besar buat penganut Kristian dan sebagai sebuah negara yang berbilang kaum juga rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan dan kewajiban untuk mengambil kesempatan mengeratkan silaturahim dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka.

“Membenih dan menyemai budaya perpaduan tidak hanya terletak di bahu pemerintah, tetapi setiap rakyat mesti memainkan peranan yang ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu,” katanya.

Beliau berharap sambutan Krismas pada tahun ini lebih meriah serta dapat membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada negara Malaysia yang terbilang dan rakyatnya yang cintakan keadilan.

“Kepada yang pulang ke kampung halaman, saya seru untuk waspada dan berhati-hati di jalan raya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment