Jumlah sebenar mangsa tanah runtuh 92

HULU SELANGOR 22 Dis. – Jumlah sebenar mangsa tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Gohtong, di sini, adalah 92 orang, bukan 94 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed, berkata semakan mendapati berlaku pertindihan nama dalam buku pendaftaran tapak perkhemahan yang membawa kepada kekeliruan jumlah sebenar mangsa.

“Selepas kita buat semakan beberapa kali, termasuk maklumat daripada laporan polis oleh waris, kita rumuskan bahawa jumlah rasmi sebenarnya adalah 92 orang, iaitu kurang dua orang daripada jumlah asal yang dilaporkan sebelum ini,” katanya pada sidang media.

Dengan perkembangan ini, jumlah mangsa yang masih hilang adalah seorang manakala jumlah korban 30 orang dan yang selamat 61.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang belum dijumpai akan diteruskan.

Sementara itu, SAR yang masuk hari ketujuh hari ini ditangguhkan berikutan hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata operasi itu ditangguh pukul 4 petang kerana keadaan cuaca yang boleh membahayakan keselamatan anggota pasukan SAR di lapangan, dan akan disambung semula esok.

Sebelum itu, operasi berkenaan dihentikan sementara kira-kira pukul 2.30 petang berikutan hujan lebat, namun disambung semula kira-kira sejam kemudian selepas hujan berhenti, tetapi ditangguhkan selepas hujan kembali.

Related posts

Leave a Comment