GENEVA – Wabak Ebola yang sedang melanda Republik Demokratik Congo (DR Congo) berisiko menjadi krisis paling buruk pernah direkodkan jika penularannya gagal dikawal dalam tempoh terdekat.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata kadar jangkitan semasa menunjukkan wabak itu berpotensi mengatasi tragedi di Afrika Barat (2014 hingga 2016) yang meragut lebih 11,000 nyawa.
Sehingga kini, lebih 4,300 kes jangkitan direkodkan di timur DR Congo dengan angka kematian melebihi 2,000 orang, menjadikan wabak berkenaan sebagai penularan Ebola yang paling pantas pernah direkodkan setakat ini.
Walaupun wabak tersebut diisytiharkan secara rasmi pada 15 Mei lalu, kajian lanjut mendapati virus itu sebenarnya sudah mula menular dalam komuniti sejak Februari, menyebabkan pihak kesihatan kehilangan masa penting untuk mengesan dan membendung penyebarannya.
Menurut WHO, situasi semasa lebih mencabar kerana wabak itu berpunca daripada strain Bundibugyo, iaitu varian Ebola yang jarang berlaku dan masih belum mempunyai vaksin atau rawatan khusus yang diluluskan.
Pengarah Operasi Amaran dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Abdirahman Mahamud, berkata berdasarkan unjuran semasa, wabak itu dijangka mencapai kemuncak dalam tempoh sekitar enam bulan.
Namun, jika keadaan bertambah buruk, penularan boleh berlanjutan sehingga setahun.
WHO kini mempergiat kerjasama dengan kerajaan DR Congo dan negara jiran bagi memperkukuh pemantauan kes, pengesanan kontak rapat, rawatan pesakit serta kesiapsiagaan rentas sempadan dalam usaha mengekang penularan virus berkenaan.
Nnnn
