Cukai taksiran kediaman Putrajaya dikurangkan

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan mulai tahun depan, kerajaan bersetuju mengurangkan Cukai Taksiran bagi kediaman berharga di bawah RM300,000, di Putrajaya.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah mendengar rungutan dan pandangan daripada penduduk di Putrajaya bahawa cukai taksiran yang dikenakan ke atas premis kediaman mereka agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya.

“Setelah mendapat penerangan lanjut daripada pihak berwajib dan bersetuju bahawa semua kediaman yang berharga di bawah RM300,000 akan diberikan potongan sebanyak 30 peratus dari jumlah cukai taksiran yang dikenakan.

“Pengurangan ini selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan bebanan rakyat terutamanya yang melibatkan golongan M40 dan B40 yang memiliki kediaman mampu milik di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Potongan sebanyak 30 peratus ini diberikan kepada premis kediaman yang telah siap dibina pada tahun 2017 sehingga kini yang melibatkan hampir 8,500 unit kediaman.

Katanya, pengurangan cukai taksiran akan mula berkuatkuasa mulai 1 Januari 2023 sehingga penilaian semula dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya.

Related posts

Leave a Comment