Kementerian WP kini Jabatan WP

KUALA LUMPUR 22 Dis. –  Kementerian Wilayah Persekutuan kini distruktur semula sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri dan diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Rosida Jaafar.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, memaklumkan demikian menerusi perkongsian di Facebook selepas menghadiri sesi taklimat Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

“Sesi taklimat kepada Perdana Menteri disampaikan oleh Datuk Seri Rosida Jaafar, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan berkaitan struktur terkini pentadbiran Jabatan Wilayah Persekutuan.

Jabatan yang sebelum ini adalah sebuah kementerian, distrukturkan semula pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Mohd Zuki berkata, selepas taklimat, beliau bersama Perdana Menteri menghadiri Majlis Interaksi Wilayah Persekutuan.

Jelasnya, majlis terbabit adalah platform di antara pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan dengan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan bagi membincangkan isu kritikal serta cadangan pelaksanaan dasar pembangunan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Kedua-dua majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Solehuddin Alyubi; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi DBKL dan menjadi lawatan kerja pertama Anwar ke ibu pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Related posts

Leave a Comment