Johari Abdul Speaker baharu Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR 19 Dis – Perjanjian persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan Malaysia membawa hasil yang pertama apabila 147 wakil kerajaan mengundi memilih bekas ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu.

Johari yang dicalonkan oleh blok kerajaan mengalahkan calon blok pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) yang menamakan Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang memperoleh 74 undi.

Pemilihan bagi menggantikan Azhar Azizan dibuat melalui kertas undi.

Sebelum itu, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin memaklumkan dua cadangan nama tersebut yang masing-masing dikemukakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin pada 5 Disember lalu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun (Pakatan Harapan) mencadangkan Johari mewakili kerajaan dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang mencadangkan bekas Menteri Dalam Negeri, Radzi sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan disokong Ahli Parlimen Kota Bharu,  Takiyuddin Hassan.

Selepas diisytiharkan menang, Johari mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Johari dalam ucapan pembukaan berharap semua Ahli Parlimen dapat menghormati kerusi Speaker Dewan Rakyat dengan memberi kepercayaan kepada beliau sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dan bukan atas kapasiti peribadi.

Katanya, kerjasama dan pengalaman daripada semua ahli Dewan Rakyat amat penting dalam membangunkan negara.

“Saya berjanji akan menunaikan tugas saya dengan adil dan saksama seperti mana sumpah yang saya lakukan tadi. Mari bersama kita beriltizam dan bekerjasama, memacu dan menjayakan hala tuju membina masa depan negara tercinta ini.

“Marilah kita tanam tekad untuk menyumbang kepada kesejahteraan rakyat seluruhnya,” kata beliau.

Johari berkhidmat sebagai ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal, tetapi tidak menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebaliknya digantikan anaknya, Dr Mohammed Taufiq yang menjadi satu-satunya wakil Pakatan Harapan (PH) menang di Kedah.

Pada 2 Disember lalu, Azhar Azizan dilapor mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.

Related posts

Leave a Comment