Hari pertama penggal pertama sudah riuh rendah

KUALA LUMPUR 19 Dis. –  Hari pertama, persidangan pertama Dewan Rakyat mencetuskan kekecohan selepas usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri,  Fadillah Yusof.

Ketegangan bermula selepas Ahli Parlimen Arau,  Shahidan Kassim mengemukakan point of order agar tidak menggunakan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu bagi mempengaruhi Dewan Rakyat selepas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri telah diperkenankan.

Shahidan berpandangan, perkara tersebut melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat Perkara 36(7), dan meminta Anwar menjadi Perdana Menteri tanpa perlu mengemukakan usul percaya, jika diyakini mempunyai keabsahan.

“Bagi kami pada pandangan kalau Agong sudah absah (pelantikan Anwar), buat apa nak bawa sini.
“Jadilah Perdana Menteri, tak perlu absah,” katanya di Dewan Rakyat di sini

Bagaimanapun Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata keputusan mengemukakan undi percaya dibuat kerana Perdana Menteri ketika ini mempunyai keberanian.

“Perdana Menteri kelapan (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dulu tak berani nak bawa (undi percaya), isytihar darurat, tak berani …

“Sebab kita berani sebab Perdana Menteri yang ada hari ini berani tak sama seprti yang kelapan dulu, tak berani,” ujarnya yang juga muka baharu di Dewan Rakyat.

Shahidan kemudian membalas beliau terkejut dengan respons yang diberikan ahli Parlimen, selain menyifatkan kekecohan di Dewan Rakyat seperti suasana di zoo negara atau ‘orang gila’.

“Orang baru balik hospital (Hulu Langat), ini masalahnya…,” kata Shahidan yang mencabar Sany bangun daripada tempat duduknya. Sany menyahut cabaran itu dan terus ‘menyerang’ Shahidan.

Sebelum itu Sany mengangkat sumpah di tempat duduknya kerana tidak mampu ke tempat mengangkat sumpah disebabkan baru menjalani pembedahan di kaki.

Kenyataan Shahidan itu kemudian mencetuskan bantahan daripada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How yang meminta Shahidan menarik balik.

“Tarik balik kenyataan yang disifatkan sangka buruk yang tak boleh diterima dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat,  Johari Abdul kemudian memaklumkan usul percaya terhadap Perdana Menteri akan dibahas oleh 12 individu , dengan pembahas pertama ialah Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin.

Johari ketika cuba mengawal keadaan mengarahkan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee untuk duduk ketika cuba masuk campur dalam pertikaman lidah itu.

Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) kemudian bangun mencelah dan mempersoalkan tindakan beberapa Ahli Parlimen baharu yang tidak memahami perjalanan perbahasan di Dewan Rakyat.

Ronald: Speaker, Dewan ini ada ‘decorum’, cara berbahas, mencelah… ada ‘decorum’ dan dinyatakan dalam peraturan.

Awang Solahudin (PN-Pendang): Ini Ipoh Timur baru, dia belasah saja. Minta kebenaran Speaker dulu baru boleh bercakap. Dia baru, tak tahu apa-apa, bagi sikit dekat dia, ‘lesson learned’ dekat dia.

Hari pertama juga seperti sebelum ini perkataan ‘kera dan beruk’ juga kedengaran digunakan dalam kekecohan ketika Hamzah Zainudin membahaskan usul berkenaan.

Pertikaman lidah itu memaksa Johari memberi amaran kepada Sany supaya duduk dan tidak mengganggu perjalanan perbahasan usul.

“Hulu Langat, kalau Yang Berhormat tidak hormat saya, Yang Berhormat nak hormat siapa? Saya mahu semua duduk, jangan jadi batu ‘ronson’ (batu api). Saya tak dengar pasal ramai sangat bercakap.

“Sekali lagi, saya tak kira belah sini atau belah sini (kerajaan atau pembangkang) keluarkan perkataan ‘unparliamentary’, saya akan keluarkan (mereka) daripada Dewan ini.

“Kena jaga ‘decorum’, please (tolong) khususnya ahli Yang Berhormat yang baharu masuk, kena belajar dulu, bersabar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment