Ramli, Alice Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR 19 Dis. –  Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Nor dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini hasil undian bersurat dalam kalangan ahli Parlimen.

Keputusan diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul menyaksikan Ramli memperoleh 148 undi, bermakna semua wakil rakyat kerajaan memberi sokongan kepada wakil Barisan Nasional (BN) itu.

Manakala Alice mendapat 146 undi sementara Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN Masjid Tanah) yang mewakili blok pembangkang memperoleh 74 undi.

Sebelum itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencadangkan Ramli dan Alice daripada DAP sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan mencadangkan jawatan berkenaan diisi oleh Mas Ermieyati, yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) bagi mewakili blok pembangkang.

Usul berkenaan disokong oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamed (PN-Pas).

Pada persidangan sebelum ini, jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat disandang oleh Mohd Rashid Hasnon (Bersatu) dan Azalina Othman Said (BN).

Bagaimanapun pada 23 Ogos tahun lepas, Azalina melepaskan jawatan itu, tetapi masih menjalankan tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara sepanjang tempoh persidangan berlangsung.

Ia adalah Persidangan Dewan Rakyat pertama di bawah Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu.

Related posts

Leave a Comment