777 kes baharu Covid-19 di Singapura

SINGAPURA 7 Jan. – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 777 kes baharu Covid-19 termasuk 396 kes import dan dua kematian setakat tengah hari ini.

Menurut Kementerian Kesihatan, sebanyak 535 kes baharu varian Omicron disahkan hari ini iaitu 251 daripadanya adalah jangkitan tempatan manakala 284 lagi adalah kes import.

Daripada jumlah 777 kes itu, sebanyak 366 adalah kes baharu dalam masyarakat, 15 kes di asrama pekerja asing, dan 396 import.

Dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes adalah 283,991 kes dengan jumlah kematian pula 837 orang.

Sementara itu, kadar pertumbuhan jangkitan mingguan pula adalah 1.69, meningkat berbanding 1.50 semalam. Kadar melebihi 1 menunjukkan jumlah kes mingguan baru Covid-19 masih meningkat.

Seramai 165 pesakit masih dirawat di hospital, merosot berbanding 171 semalam, 10 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, satu kes dipantau rapi di ICU dan 12 sakit tenat di ICU.

Keseluruhan kadar penggunaan ICU adalah 43.2 peratus, merosot berbanding 47.1 peratus pada Khamis.

Jumlah pesakit yang dibenarkan  keluar hospital adalah 338.

Related posts

Leave a Comment