GRS gugurkan Bersatu 9 Disember

KOTA KINABALU 18 Dis. – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggugurkan keanggotaan Bersatu sebagai ahli gabungan itu, menerusi satu mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS pada 9 Disember lalu.

Timbalan Pengerusi GRS, Dr Maximus Ongkili yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, selain membincangkan pengguguran keanggotaan Bersatu dalam GRS, pihaknya juga mengekalkan kedudukan Hajiji Noor sebagai Pengerusi gabungan itu.

“Kita menyertai Kerajaan Perpaduan atas komitmen membina kerajaan yang stabil demi kepentingan kesejahteraan rakyat dan pembangunan tanah air.

“Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ataupun partinya tidak ada hubungan dengan Perjanjian Persefahaman Kerajaan Perpaduan yang prinsip dan matlamatnya ditolak oleh parti beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Ronald yang juga Naib Presiden Bersatu dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah mendakwa pembabitan GRS dalam menandatangani perjanjian persefahaman bersama parti gabungan lain Kerajaan Perpaduan adalah tidak sah.

Katanya, ini kerana Bersatu sebagai parti pengasas dan ahli GRS tidak pernah terbabit dalam sebarang perbincangan berhubung perjanjian persefahaman itu.

Beliau turut mendakwa, Bersatu masih ahli sah dalam GRS seperti tercatat dalam perlembagaan gabungan dan Hajiji bukan lagi Pengerusi GRS yang sah kerana sudah keluar Bersatu.

Related posts

Leave a Comment