Kes harian Covid-19 meningkat semula

PUTRAJAYA 13 Dis. – Selepas menunjukkan penurunan di bawah 1,000 kes iaitu 809 kelmarin (Isnin), jumlah kes jangkitan harian Covid-19 meningkat semula semalam kepada 1,040 termasuk dua kes import.

Menurut data portal KKMNOW, dengan peningkatan itu jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,012,483 iaitu 4,974,004 kes tempatan dan 38,479 kes import.

Kes kematian harian juga meningkat iaitu sembilan termasuk tiga berlaku di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID) berbanding enam meninggal dunia kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan 36,778 termasuk 7,836 BID.

Sebanyak 425 kes aktif dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 17,547 dan daripada jumlah kes aktif itu, sebanyak 16,378 kes atau 93.3 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah dan tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC).

Bagi 1,100 kes di hospital pula, sebanyak 69 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana 52 atau 0.3 peratus memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) manakala 17 lagi atau 0.1 peratus tidak memerlukan ABP.

KKMNOW turut melaporkan 1,456 pesakit sembuh menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,958,158 orang.

Related posts

Leave a Comment