SEPANG 31 Mac – Jemaah umrah yang terdiri daripada 41 warga emas klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selamat tiba di KLIA semalam selepas menunaikan ibadah umrah melalui tajaan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. (Andalusia).
Ketibaan mereka yang diiringi empat orang pegawai JKM sebagai pengiring di Tanah Suci Makkah dan Madinah disambut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Rosmahwati Ishak serta beberapa orang pegawai kanan lain.
Turut berada di KLIA menyambut ketibaan mereka adalah para petugas Andalusia.
Jemaah umrah JKM ini berlepas ke Madinah untuk ziarah dan lawatan pada 18 Mac 2026 sebelum ke Makkah untuk menunaikan ibadah umrah serta berpeluang melakukan ziarah di bumi Taif.
Semasa di Makkah, rombongan warga emas ini turut disantuni oleh Ketua Pengarah JKM Che Murad Sayang Ramjan, yang kebetulan menunaikan umrah pada 25 Mac lalu.
Che Murad Sayang berkesempatan beramah mesra dengan kumpulan jemaah itu di hotel penginapan Andalusia di Makkah.
Kumpulan jemaah ini terdiri daripada mereka yang berusia antara 65 hingga 79 tahun dan merupakan penerima bantuan bulanan serta penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) JKM.
Mereka dipilih menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Andalusia dengan kerjasama JKM dan disokong Yayasan Imanul Faizin.
NNNNN
