Sah perkhidmatan Shafiq ditamatkan

PUTRAJAYA 13 Dis. – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Mohd Zuki Ali mengesahkan perkhidmatan Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ditamatkan berkuat kuasa semalam.

Beliau berkata penamatan itu selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, Mohd Shafiq dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya.

“Keputusan ini diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.

“Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam.

“Saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara yang kita cintai,” katanya.

Mohd Shafiq, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Meiji, Jepun.

Beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri pada 1 Disember 1992.

Mohd Shafiq yang sebelum ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan menggantikan Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang bersara wajib pada 16 Januari lalu.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung dakwaan seorang pegawai tinggi kerajaan telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dalam satu insiden pada 3 Ogos lalu.

Rentetan itu, Mohd Zuki pada 7 Ogos lalu mengumumkan penubuhan satu Jawatankuasa Siasatan, yang dipengerusi Peguam Negara, Idrus Harun bagi menyiasat dakwaan insiden membabitkan seorang pegawai tinggi kerajaan dan pegawai Imigresen di KLIA itu.

Ia selepas Kabinet pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Perdana Menteri mengarahkan KSN menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat isu membabitkan Mohd Shafiq yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen (Imigresen).

Ismail Sabri dilaporkan berkata perkara itu dibincangkan Kabinet supaya siasatan dilaksanakan jawatankuasa khas yang ahlinya ditentukan KSN.

Related posts

Leave a Comment