Empat ahli Parlimen boleh kekal

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tampil menjelaskan bahawa empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang keluar daripada Bersatu tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

Dr Wan Junaidi dalam satu kenyataan berkata, empat Ahli Parlimen GRS itu boleh kekal di kerusi masing-masing.

“Saya ingin menjelaskan bahawa empat Ahli Parlimen (MP) tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

“Selepas dimaklumkan pelbagai sumber yang boleh dipercayai pagi ini (semalam) dan tengah hari ini bahawa empat ahli parti Bersatu ini sudah meletakkan jawatan dalam parti mereka pada awal Oktober lalu sebelum bertanding pilihan raya umum pada 19 Oktober,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sebelum ini Dr Wan Junaidi yang terbabit yang dalam penggubalan undang-undang larangan bertukar parti berpendapat mereka perlu mengosongkan kerusi berikutan tindakan keluar parti.

Kenyataan itu susulan polemik mengenai status empat Ahli Parlimen itu yang bertanding dalam PRU-15 atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun menjadi ahli Bersatu.

Empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah yang bertanding atas tiket GRS ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Wan Junaidi menjelaskan, beliau bersetuju dengan kenyataan Peguam Perlembagaan, Tengku Datuk Fuad Ahmad.

Katanya, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini, ahli Parlimen berkenaan bertanding di bawah tiket GRS.

“Pakatan parti itu dengan Bersatu berakhir pada awal Oktober tahun ini, sebelum pemilihan berlangsung.

“Oleh itu, mereka tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan berkaitan Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti,” katanya.

Tengku Fuad sebelum ini menyatakan empat Ahli Parlimen itu tidak akan kehilangan kerusi yang dimenangi pada PRU-15 kerana mereka bertanding sebagai calon GRS, bukannya calon Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu.

Terdahulu, Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) menjelaskan, penyertaannya dalam GRS menerusi keahlian langsung dan bertanding pada PRU-15 atas tiket gabungan berkenaan.

Katanya, GRS ialah parti bersifat individu dengan keahliannya meliputi dua kategori, iaitu keahlian langsung dan keahlian parti gabungan.

Related posts

Leave a Comment