Dua keahlian Bersatu, serta GRS

KOTA KINABALU 12 Dis. –  Empat Ahli Parlimen yang meninggalkan Bersatu sehingga mencetuskan kontroversi lompat parti mendakwa mereka adalah ahli secara individu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selain mempunyai keahlian dalam Bersatu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Armizan Mohd Ali mendakwa, beliau sebagai Ahli Parlimen Papar memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas tiket GRS, menjadi ahli secara individu dalam GRS dan Bersatu.

Beliau yang mewakili rakan-rakan lain berkata, perlembagaan GRS menyatakan, keahlian yang diterima dalam gabungan itu bukan saja daripada parti atau persatuan, malah daripada individu yang disebut sebagai keahlian terus.

“Berhubung status kami sebagai Ahli Parlimen yang mewakili GRS, berikutan ada spekulasi mengenai status GRS, saya fikir perlu juga mereka semak undang-undang tubuh GRS.

“Saya sendiri terlibat membuat draf perlembagaan GRS, jadi saya amat tahu. Ia bukan saja gabungan persatuan tetapi ia adalah parti yang bersifat individu dan persatuan parti politik.

“Bermaksud dari segi keahlian ada dua kategori, pertama individu dan kedua parti politik. Dalam GRS juga ada keahlian individu dan saya dari awal lagi menjadi ahli secara keahlian terus dan bertanding pada PRU lalu atas tiket GRS,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Selain Armizan, tiga lagi Ahli Parlimen GRS yang terbabit dalam kontroversi itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.

Armizan berkata, bagi dirinya beliau juga belum memutuskan untuk keluar daripada Bersatu kerana selepas pengumuman oleh Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, mengenai keluar Bersatu pada Sabtu lalu, tindakan perlu disusuli di peringkat bahagian untuk membuat perkara sama.

“Di pihak saya belum ada keputusan mohon keluar Bersatu, tapi saya jelaskan bahawa saya bertanding PRU lalu sebagai ahli GRS dan menggunakan logo GRS,” katanya.

Ditanya sama ada ia bermakna tiada isu lompat parti, beliau bagaimanapun berkata perkara itu diserahkan kepada pihak perundangan.

Sementara itu, beliau menjelaskan tindakan diambil pemimpin Bersatu Sabah keluar daripada parti itu berkait rapat dengan keputusan GRS untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) tidak setuju dengan Kerajaan Perpaduan jadi tidak wujud persefahaman di situ. Saya juga lihat punca utama berlaku keadaan ini apabila GRS membuat pendirian untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita tidak menyertai mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan itu tapi kita bersama membentuk Kerajaan Perpaduan seperti dititah Yang di-Pertuan Agong kerana tiada parti mendapat majoriti membentuk kerajaan.

“Jadi formulanya dengan melibatkan semua parti membentuk Kerajaan Perpaduan. Ada yang setuju dan ada tidak. Di pihak GRS, kita mengambil kira keputusan PRU lalu dan titah Yang di-Pertuan Agong atas kepentingan untuk menubuhkan kerajaan dan paling penting untuk kepentingan Sabah sendiri,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun, berkata GRS dan empat Ahli Parlimennya sedar mengenai undang-undang anti lompat parti yang berkuat kuasa sejak 5 Oktober lalu.

Katanya, mereka tahu mengenai kesan undang-undang itu sebelum menjadi calon PRU15 lagi.

“Mereka akan memaklumkan Speaker Parlimen jika ada keperluan mengenai kedudukan mereka dan akan mengeluarkan kenyataan. Kita yakin mereka tidak akan terkesan dengan undang-undang anti lompat parti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment