Agong terima menghadap Ramos Horta

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menerima menghadap Presiden Timor-Leste, Dr José Ramos-Horta di Istana Negara, di sini, sempena lawatan khas pemimpin itu ke Malaysia.

Menurut catatan Facebook Istana Negara, dalam sesi yang berlangsung selama 30 minit bermula 3 petang itu, Al-Sultan Abdullah dan Ramos-Horta menyentuh berkenaan hubungan dua hala serta beberapa isu membabitkan kepentingan bersama Malaysia dan Timor-Leste.

“Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar hubungan dua hala antara kedua-dua negara dapat dipertingkat dalam pelbagai aspek, demi kepentingan bersama,” menurut catatan itu.

Hadir sama, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli; Timbalan Menteri Luar Negeri, Muhamad Alamin; Menteri Luar Negeri Timor-Leste Dr Adaljiza Albertina Xavier Dos Reis Magno dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Timor-Leste, Joaquim Amaral.

Related posts

Leave a Comment