Lebih 4 juta visa umrah dikeluarkan

MAKKAH: Lebih empat juta visa umrah dikeluarkan kepada jemaah dari seluruh dunia dalam tempoh lima bulan, sejak awal musim umrah bagi tahun 1444 Hijrah, demikian menurut Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Pengeluaran visa dengan kerjasama beberapa sektor lain memudahkan ketibaan jemaah, menerusi imbasan biometrik e-Visa melalui laman sesawang Kementerian Haji dan Umrah serta platform ‘NUSUK’, serta penyediaan perkhidmatan berkualiti tinggi bagi membolehkan ibadah dilaksanakan secara mudah dan tenang.

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA). umat Islam yang mendapat semua jenis visa (peribadi, lawatan dan pelancongan) termasuk jenis lain yang membenarkan kemasukan ke Arab Saudi, boleh melakukan ibadah umrah, melawat serta menunaikan solat di Raudhah, selepas membuat tempahan slot melalui ‘NUSUK’.

Arab Saudi turut melanjutkan tempoh visa umrah daripada 30 kepada 90 hari bagi kemasukan ke negara itu melalui jalan darat dan udara.

Aplikasi ‘NUSUK’ juga memudahkan tempahan slot untuk jemaah mengerjakan umrah dan melawat Masjid Nabawi selepas mereka memperoleh visa menerusi sistem elektronik.

Untuk maklumat lanjut berhubung kaedah mendapatkan visa umrah, jemaah umrah dan pelawat dari luar negara boleh melayari pautan: www.haj.gov.sa/ar/InternalPages/Umrah, manakala membeli pakej perkhidmatan serta membuat pembayaran dalam talian pula menerusi pautan: nusuk.sa serta platform ‘Maqam’: maqam.gds.haj.gov.sa.

Related posts

Leave a Comment