Dua pemimpin PKR angkat sumpah Senator

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Naib Presiden PKR,  K. Saraswathy dan bekas Ketua Wanita PKR  Fuziah Salleh yang dilantik sebagai timbalan menteri, mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara berkuatkuasa hari ini.

Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Dr Rais Yatim di bangunan Parlimen 9.04 pagi ini.

Ia dibuat selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat (4)(1) dan 4(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara dan mengikut Jadual Keenam, Perlembagaan Persekutuan.

Syarat dikenakan mengikut Perkara 43 (2)(b), Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang menteri hendaklah menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Saraswathy dan Fuziah adalah sebahagian daripada 27 timbalan menteri yang  diumumkan pelantikan mereka oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.

Pada pilihan raya umum lalu, Fuziah gagal mempertahankan kerusi Kuantan selepas tewas dengan majoriti 2,866 undi kepada Wan Razali Wan Nor dari Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 25,514 undi berbanding Fuziah 22,648 undi.  

Fuziah pernah memikul tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selepas PRU lalu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan

kali ini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Sementara itu, Saraswathy yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Tapah, Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan.

Saravanan mempertahankan kerusi yang dimenangi sejak 2008 dengan majoriti 5,064 apabila memperoleh 18,398 berbanding Saraswathy 13,334 dan calon PN Muhammad Yadzan Mohammad 12,115 undi..

Saraswathy dipilih sebagai Naib Presiden PKR secara lantikan bagi mewakili wanita PKR, selepas tiada seorang pun wakil wanita menang jawatan itu pada pemilihan parti.

(Foto Jabatan Penerangan)

Related posts

Leave a Comment