Tiga pemimpin UMNO dipecat keahlian

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Annuar Musa dipercayai antara tiga pemimpin UMNO yang dipecat keahliannya pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi.

Difahamkan dua lagi adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Shahidan Kasim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Fatimah Kassim.

Fatimah pula adalah isteri kepada Ismail Abd Muttalib, yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRU sebelum ini.

Shamsiah dan Fatimah bulan lalu digantung sementara seluruh jawatannya selepas didapati terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara, Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepemimpinan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, hal pemecatan itu dimaklumkan Ahli MKT, Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato’ Onn di sini, selepas mesyuarat selesai.

Menjelaskan situasi dalam mesyuarat berkenaan, Mohd Puad berkata, nada Presiden UMNO agak tegas berkenaan isu disiplin.

Katanya, Ahmad Zahid menegaskan tidak akan sekali berkompromi dengan ahli yang burukkan parti termasuk membocorkan inti pati mesyuarat parti kepada pihak luar.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Arau dan Maran daripada UMNO, Shahidan Kassim dan Ismail Abd Muttalib, turut digugurkan daripada senarai calon BN pada PRU lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu akhirnya mempertahankan kerusi mereka selepas bertanding pada PRU15 menggunakan logo PN.

Sementara itu Ahmad Zahid dalam catatan Facebooknya menulis : Alhamdulillah. Selesai sudah… Mesyuarat MKT malam ini. Moga keputusan bersama yang diambil akan membawa kebaikan kepada parti dan Malaysia keseluruhannya. UMNO akan terus kekal berjuang untuk semua,”

Related posts

Leave a Comment