15 muka baharu dilantik timbalan menteri

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Lima belas daripada 27 timbalan menteri yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim malam ini adalah muka baharu, dan seorang daripada mereka dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Mereka adalah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Ahli Parlimen Beaufort Siti Aminah Aching (Perladangan dan Komoditi).

Turut dilantik, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir  (Pembangunan Kerajaan Tempatan); Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang (Kemajuan Desa dan Wilayah); Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hing ( Pertanian dan Keterjaminan Makanan) dan Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari (Menteri Pertahanan).

Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohd Yusof Apdal, yang juga adik kepada Presiden Parti Warisan, Mohd Shafie Apdal, juga muka baharu dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Ahli Parlimen Sarikei, Huang Tiong Sii, daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Naib Presiden PKR, Saraswathy Kandasamy, yang akan mengangkat sumpah sebagai senator dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khas menjadi satu-satunya wakil Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam senarai timbalan menteri, dilantik Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Adik Pengerusi DAP, Lim Guan Eng iaitu Lim Hui Ying, yang juga Ahli Parlimen Tanjong dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, manakala Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud  (PKR) dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Wilson Kumbong, yang juga ahli veteran GPS, dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Related posts

Leave a Comment