Dua wakil PKR dilantik Senator

KUALA LUMPUR 9 Dis. –  Bekas Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Naib Presiden PKR, Saraswathy Kandasamy, akan dilantik sebagai senator bagi memegang portfolio timbalan menteri.

Fuziah diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, manakala Saraswathy sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Fuziah, yang juga bekas Ketua Wanita PKR sebelum ini tewas dengan calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen Kuantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

Beliau tewas dengan majoriti 2,866 undi apabila Wan Razali Wan Nor (PN) memperolehi 25,514 undi berbanding Fuziah yang mendapat 22,648 undi.  

Selepas PRU14, Fuziah pernah memikul tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Sementara itu, dalam pertembungan enam penjuru, Saraswathy tewas kepada calon Barisan Nasional ((BN) Tapah, Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan.

Saravanan mempertahankan kerusi yang dimenangi sejak 2008 dengan majoriti 5,064 apabila memperoleh 18,398 berbanding Saraswathy 13,334 dan calon PN Muhammad Yadzan Mohammad 12,115 undi..

Saraswathy dipilih sebagai Naib Presiden PKR secara lantikan bagi mewakili wanita PKR, selepas tiada seorang pun wakil wanita menang jawatan itu pada pemilihan parti.

Related posts

Leave a Comment