BN kekal Tioman, menyamai 17 kerusi PN

PUTRAJAYA 7 Dis. – Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman apabila penyandang, Mohd Johari Hussain menang dengan majoriti tipis pada PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

Dengan kemenangan ini juga, BN berjaya menambah satu lagi kerusi di DUN Pahang menjadikan 17 kerusi menyamai kerusi yang diperoleh Perikatan Nasional (PN).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Tioman, Ahmad Nasim Mohd Sidek, mengumumkan keputusan itu kira-kira pukul 9.20 malam tadi di mana Johari mendapat 8,080 undi pada pertembungan lima penjuru berkenaan.

Calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim memperoleh 7,507 undi manakala calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly yang menarik diri bagi memberi laluan kepada BN memperoleh 784 undi,.

Calon Pejuang, Osman A Bakar memperoleh 79 undi, dan calon Bebas Sulaiman Bakar mendapat 58 undi.

Pasca PRU15 lalu, tiada parti atau blok parti berjaya mendapat majoriti mudah untuk menguasai DUN Pahang dengan BN ketika itu menang 16 kerusi, kurang satu kerusi berbanding PN.

Berikutan itu, Pemangku Raja Pahang yang juga Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memberi perkenan kepada pembentukan kerajaan perpaduan membabitkan BN dan PH.

Ia juga menyaksikan Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail daripada BN mengekalkan jawatan berkenaan.

Pilihan raya DUN Tioman yang membabitkan 28,108 pengundi, dilaksanakan secara berasingan daripada PRU15 pada 19 November lalu berikutan kematian calon asal PN, Md Yunus Ramli, 61, pada awal pagi 19 November.

Related posts

Leave a Comment