Timbalan menteri akan dimuktamadkan

PUTRAJAYA 7 Dis. – Calon-calon bagi jawatan Timbalan Menteri akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian di laman Facebook beliau hari ini.

Anwar turut memaklumkan mesyuarat Kabinet mingguan pagi ini berjalan dengan suasana yang harmoni dan produktif.

“Saya menegaskan bahawa isu-isu rakyat terutamanya masalah kos sara hidup harus diberi tumpuan dan diselesaikan sesegera mungkin,” katanya dalam catatan tersebut.

Pada 3 Disember lalu, dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 menteri Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Sementara itu, Bebasnews difahamkan lebih 30 nama dipertimbangkan untuk jawatan timbalan menteri termasuk mewakili Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan) serta parti lain.

Difahamkan jumlah timbalan menteri itu mungkin akan dihadkan kepada satu bagi setiap kementerian, kecuali membabitkan beberapa kementerian yang disatukan sebagai langkah mengecilkan saiz Kabinet lebih kecil berbanding sebelum ini.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim misalnya, yang sebelum ini adalah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), dijangka mempunyai dua timbalan menteri.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah juga akan mempunyai dua timbalan menteri, berikutan sudah tidak ada lagi Kementerian Wilayah Persekutuan dalam Kabinet ketika ini.

Kementerian Kewangan juga dijangka mempunyai dua timbalan menteri berikutan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri, selain kementerian yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, termasuk Kementerian Perladangan dan Komoditi, kemungkinan akan mempunyai dua timbalan menteri.

Muka-muka lama yang dijangka diberi perhatian termasuk Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Liew Chin Tong (Iskandar Puteri), Steven Sim (Bukit Mertajam), Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, yang mewakili PH.

Begitu juga Ahli Parlimen Pontian,  Ahmad Maslan, Mohamad Alamin (Kimanis), Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Jalaluddin Alias (Jelebu) serta Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng.

Beberapa muka baharu juga dijangka tersenarai, termasuk Chong Chieng Jen (Stampin), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Young Syefura Othman (Bentong), V Ganabatirau (Klang) dan Shahredzan Johan (Bangi), mewakili DAP.

Bagi PKR, nama yang dijangka tercalon ialah Rodziah Ismail (Ampang), Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang), Adam Adli Abd Halim (Hang Tuah Jaya), Wong Chen (Subang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Related posts

Leave a Comment