Tiada kaitan roboh empayar Syed Mokhtar

PUTRAJAYA 6 Dis. –  Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak dakwaan yang mengaitkan arahan kepada Bernas menyalurkan peruntukan kepada pesawah sebagai usaha merobohkan empayar perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata ia dilakukan untuk kepentingan rakyat dan pesawah miskin termasuk di Kedah.

Katanya, Syed Mokhtar sendiri bersetuju dengan arahan Kerajaan Persekutuan untuk syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan.

Beliau berkata, langkah yang diambilnya itu serta Kementerian Kewangan adalah untuk mencari jalan penyelesaian dan mengingatkan semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu monopoli import beras yang dikuasai Syed Mokhtar.

“Saya ucap terima kasih kepada dia (Syed Mokhtar) tetapi saya kata untuk menjamin masa depan pesawah miskin saya ambil langkah untuk berunding dengan dia dan cuba bantu,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan, di sini.

Beliau berkata, Syed Mokhtar boleh membuat keuntungan melalui perniagaannya dalam sektor lain termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Katanya, beliau memberi jaminan untuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan mencari jalan menyelesaikan sebarang masalah dihadapi di mana-mana pelabuhan di Johor.

Pada masa sama, Anwar berkata, pihaknya akan berunding dengan Syed Mokhtar mengenai cara untuk BERNAS boleh memberi jaminan keselesaan dan keadilan kepada pesawah padi yang miskin.

Anwar sebelum ini membidas tindakan kerajaan ketika itu melanjutkan tempoh konsesi BERNAS yang mempunyai kuasa untuk memonopoli import beras.

“Saya tak faham mengapa ini menjadi masalah. Sudah berpuluh tahun dah BERNAS ini, ini kali pertama saya kata ‘enough is enough’,” katanya.

Related posts

Leave a Comment