“Bukan pergi tengok Piala Dunia”

PUTRAJAYA 6 Dis. – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan ketidakhadiran beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam adalah disebabkan berada di Abu Dhabi atas urusan rasmi.

“Ada yang kata saya di Qatar tengok World Cup, tapi sebenarnya saya di Abu Dhabi dan Dubai, UAE atas urusan kerja rasmi,” katanya melalui laman Facebooknya bagi menjawab dakwaan kononnya beliau pergi menonton Piala Dunia di Qatar.

Beliau menjelaskan mana-mana menteri yang tidak dapat hadir ke mesyuarat Jemaah Menteri perlu mendapat kebenaran Perdana Menteri terlebih dulu.

“Baru saja angkat sumpah terus keluar macam-macam fitnah dan berita palsu kononnya saya ponteng mesyuarat Jemaah Menteri untuk tengok Piala Dunia di Qatar.

“Sebenarnya saya pergi Abu Dhabi bukan ke Doha, bukan ke Qatar. Abu Dhabi tidak ada Piala Dunia, Doha yang ada Piala Dunia. Saya pergi ke Abu Dhabi atas urusan rasmi dan bukan saja-saja pergi,” katanya.

Tengku Zafrul menjelaskan, beliau ke Abu Dhabi untuk menghadiri majlis menandatangani perjanjian bersejarah antara PETRONAS dengan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) untuk meneroka dan menilai kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

Beliau berkata, majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ADNOC, Dr Sultan Ahmed Al Jaber dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik.

“Perjanjian ini adalah salah satu yang bersejarah dan terbesar untuk UAE dan Malaysia dalam sektor minyak dan gas kerana ia membabitkan pelaburan antara kedua-dua negara bagi tempoh 30 tahun,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, perjanjian yang dimeterai Petronas itu akan mempelbagai sumber pendapatan syarikat minyak dan gas nasional itu.

Malah, katanya, ia juga akan mengukuhkan kedudukan syarikat minyak dan gas nasional itu sebagai salah satu syarikat tenaga terkemuka di peringkat global.

Sementara itu, Tengku Zafrul juga menjelaskan dalam lawatannya itu, beliau juga melawat pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Dubai untuk bertemu dengan pegawai MATRADE dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Apabila kembali ke Malaysia, beliau akan memberi taklimat mengenai perjanjian yang dimeterai Petronas itu dan membentangkan perkara lain pada mesyuarat Jemaah Menteri.

Related posts

Leave a Comment