Kejayaan membanggakan negara

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kejayaan kerjasama sulung antara syarikat pengeluar minyak dan gas Malaysia dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) amat membanggakan negara.

Baginda bertitah, kerjasama Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) itu secara langsung mengiktiraf dan sekali lagi membuktikan keupayaan syarikat Malaysia bersaing pada peringkat global.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara , Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda bertitah kejayaan kerjasama itu juga secara langsung mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan UAE pada pelbagai peringkat, termasuk antara pemimpin kedua-dua negara dan hubungan sesama rakyat.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya kerjasama itu akan membuka lembaran baharu kerjasama strategik dalam pelbagai sektor antara kedua-dua negara, termasuk sektor ekonomi demi kepentingan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Perjanjian bersejarah antara anak syarikat milik penuh Petronas dengan ADNOC itu membabitkan kerjasama meneroka dan menilai Blok 1 Luar Pesisir Bukan Konvensional membabitkan kawasan konsesi 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah bersetuju menyaksikan Majlis Pemeteraian Perjanjian antara Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dan ADNOC di Abu Dhabi, kelmarin.

Turut hadir, Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan serta Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC, Dr Sultan Ahmed Al Jaber.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas,  Tengku Muhammad Taufik serta kepimpinan tertinggi Petronas dan ADNOC.

Al-Sultan Abdullah kini dalam rangka lawatan khas ke Abu Dhabi selama empat hari sehingga hari ini atas jemputan peribadi Presiden UAE,  lawatan kelima baginda ke Abu Dhabi sejak menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2019.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah berangkat ke Abu Dhabi bagi melakukan kunjungan hormat ke atas Sheikh Mohamed atas pelantikan sebagai Presiden UAE yang baharu dan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.

Sheikh Mohamed pula melakukan lawatan khas ke Malaysia atas jemputan peribadi baginda sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

Related posts

Leave a Comment