Padang Serai, Tioman ujian awal muafakat politik baharu

KETIKA melapor diri sebagai Menteri Pertahanan selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pada Mei 2018, Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengakui berasa gementar ketika melangkah masuk ke Kementerian Pertahanan.

“Saya selalu hidup dengan rakyat, kini perlu terlalu ikut protokol, benda baharu. Saya kena membiasakan diri dengan kehidupan baharu ini tetapi tidak mahu ubah gaya Mat Sabu,” katanya mengulas kedudukannya sebagai Menteri Pertahanan.

Lima hari lalu, Mat Sabu gemuruh lagi. Kali ini bukan kerana dilantik sebagai Menteri  Pertanian dan Keterjaminan Makanan tetapi diminta oleh pimpinan PH berucap di pentas ceramah menyokong calon Barisan Nasional (BN) di DUN Tioman.

“Berdebar juga. Ini adalah satu peristiwa baharu pada saya. Saya diminta PH untuk hadir malam ini sokong calon BN mewakili DUN Tioman ini,” katanya yang tidak pernah membayangkan suasana itu selepas 44 tahun ‘menghentam’ UMNO dan BN.

Semalam suasana yang sama juga berkaku di kawasan pilihan raya Parlimen Padang Serai. Di pentas program Ceramah Mega Ayuh Malaysia anjuran PH, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi muncul mengajak pengundi menyokong PH.

Turut sama berucap, Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Jamil Khir Baharom yang mengingatkan pengundi supaya tidak keliru memilih calon PH selepas BN menarik diri dari bertanding di kerusi berkenaan.

Agak janggal apabila pemimpin BN mengajak pengundi menyokong PH di Padang Serai dan di DUN Tioman pula, PH mengajak pengundi menyokong calon BN. Kata orang seperti cempedak menjadi nangka atau keluarga 69.

Begitulah realiti politik yang sedang berlaku selepas PH bergabung membentuk kerajaan Persekutuan bersama BN, serta GPS, GRS, PBM, Muda dan Warisan manakala kerajaan di Perak dan Pahang melibatkan gabungan BN dan PH.

Dulu bermusuh, kini menjadi kawan. Apa pun pertembungan di dua PRU ini amat menarik perhatian. Apakah keputusannya memihak kepada PH di Padang Serai dan kepada BN di Tioman?  Siapakah yang menjadi pilihan pengundi?

PRU15 di kedua-dua kawasan tersebut sebelum ini ditangguhkan susulan kematian calon yang disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya dari PH bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili PN di DUN Tioman.

Kerusi Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH Dr Mohamad Sofee Razak, C. Sivaraajh (BN), Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Bagaimanapun pada 2 Disember lalu, BN memberi laluan kepada PH di kerusi Padang Serai. Begitu juga dengan Warisan.

Di Tioman pula menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan calon PN Nor Idayu Hashim, Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang), Sulaiman Bakar (Bebas) manakala Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) memberi laluan kepada calon BN.

Matlamat BN dan PH bagi dua kerusi itu adalah untuk menghalang PN merampas  kedua-dua kerusi berkenaan. BN dan PH masing-masing mahu mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU14.

Jika BN berjaya mempertahankan Tioman, ia menjadikan kedudukan 17 kerusi menyamai jumlah kerusi PN yang sebelum ini menguasai 17 kerusi dan PH 8.

Bagi Padang Serai, PH berhasrat menambah satu lagi kerusi selepas hanya memenangi Sungai Petani manakala PN pula mahu terus menguasai kerusi Parlimen Kedah setelah menyapu 13 daripada 14 kerusi yang dipertandingkan sebelum ini.

Selebihnya, walaupun masih terlalu awal, dua kerusi ini dikatakan menguji sejauh mana sokongan akar umbi UMNO atau BN terhadap keputusan pucuk pimpinan untuk bersama PH membentuk kerajaan Persekutuan di sebalik laungan “No Anwar, No DAP”.

Mungkin jika PH dan BN berjaya, maka akan dicanang itulah kejayaan awal Kerajaan Perpaduan serta penerimaan akar umbi terutama di pihak UMNO dan BN walaupun sebelum ini begitu konsisten menolak kerjasama dengan PH.

Dan jika PN pula yang menang, maka akan bergema itulah mesej penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan bersama PH, BN, GPS, GRS dan lain-lain. Mungkin PN mendakwa penyokong BN/UMNO dan PH menolak kerjasama itu.

Walaupun dua kerusi, kemenangan amat bermakna sama ada bagi PH/BN atau PN. Dalam tempoh yang singkat, BN khususnya UMNO sudah tentu belum sempat mendekati akar umbi bagi merasionalkan kerjasama BN-PH.

Pengundi mana akan memberi sokongan padu dan siapa pula yang akan menunjukkan tanda protes? Sama-sama kita tunggu keputusannya.

Related posts

Leave a Comment