Tiada pengumuman harga telur ayam rendah

PUTRAJAYA 6 Dis. – Tiada sebarang pengumuman mengenai harga telur ayam lebih rendah sebaliknya kerajaan akan mengimport bekalan telur daripada beberapa negara sumber yang sudah dikenal pasti dengan segera.

Langkah itu adalah bagi menampung keperluan pasaran tempatan di mana penggunaan purata telur ayam adalah sebanyak 968 juta sebiji sebulan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, selain langkah jangka pendek itu, kementerian akan memastikan telur ayam yang diterima itu selamat daripada penyakit dan menepati piawaian ditetapkan.

“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar, bukan untuk menekan pengusaha industri tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.

“Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula selepas bekalan tempatan kembali stabil. Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dalam sidang media selepas mesyuarat pertama Kabinet, memaklumkan pihaknya sudah berbincang dengan Mohamad dan akan mengumumkan harga telur ayam yang lebih rendah, hari ini.

Anwar berkata, langkah terbabit diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan kepada kartel.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Ketua Setiausaha kementeriannya juga sudah diarah menilai kesan import terhadap industri telur ayam tempatan dan Agrobank akan mengemukakan cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil supaya mereka kekal berdaya saing dalam industri ini.

“Kementerian sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif. Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment