Kerjasama erat kunci kejayaan kerjasama

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Kerjasama erat serta hubungan dua hala kukuh Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menjadi kunci di sebalik kejayaan kerjasama antara Petronas dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) untuk meneroka serta menilai Unconventional Onshore Block 1 di Abu Dhabi.

Bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata ia diperkukuhkan lagi hubungan erat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Presiden UAE, Mohammed bin Zayed Al Nahyan, sekali gus melancarkan usaha ke arah memastikan projek berkenaan kenyataan.

“Alhamdulillah kerjasama ini telah dimuktamadkan. Menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memainkan peranan penting dalam projek bersejarah ini.

“Tanpa hubungan erat antara Baginda dan Presiden UAE, projek ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya melalui kenyataan di Facebook.

Sejarah baharu tercipta apabila Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Petronas, menandatangani perjanjian dengan ADNOC untuk meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

Projek ini dirintis Yang Di-Pertuan Agong dengan baginda memulakan perbincangan awal dengan Presiden UAE.

Ismail Sabri berkata, sewaktu lawatan rasmi beliau ke Abu Dhabi pada September lalu, ADNOC telah memberikan taklimat mengenai kerjasamanya dengan PETRONAS untuk meneroka sektor minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.

Perkara ini juga dibincang lebih mendalam ketika pertemuan empat mata di antara beliau dan Sheikh Mohamed yang kemudian menyatakan persetujuan supaya projek ini dapat dipercepatkan.

“Sewaktu pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia, Malaysia dan UAE bersetuju untuk meningkatkan hubungan sedia ada kedua-dua negara kepada ‘perkongsian strategik’.

“Saya memberikan perhatian yang serius untuk memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan dan perdagangan, tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan serta minyak dan gas.

“Perdagangan antara Malaysia dan UAE telah meningkat sebanyak 90.4 peratus untuk lapan bulan pertama 2022 iaitu AS$6.14 bilion (RM25.60 bilion).

“Semoga hubungan erat antara Malaysia dan UAE terus diperkukuhkan pada masa depan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment