Penularan cacar monyet makin perlahan

COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melaporkan epidemik cacar monyet menunjukkan tanda ‘menggalakkan’ dengan penularan dilihat semakin perlahan di Eropah dan sedang menuju ‘ke arah yang betul’.

Menurut Pengarah Serantau WHO bagi Eropah, Hans Kluge, terdapat tanda awal yang menggalakkan, seperti di Perancis, Jerman, Portugal, Sepanyol, United Kingdom (UK) dan negara lain bahawa wabak itu mungkin semakin perlahan.

‘Ia sedang menuju ke arah yang betul. Namun untuk menghapuskannya, kita perlu meningkatkan usaha dengan segera,” katanya kepada pemberita.

Dalam kalangan 53 negara bawah rantau Eropah WHO, termasuk Rusia dan negara di Asia Tengah, lebih 22,000 jangkitan cacar monyet direkodkan di 43 negara terbabit, yakni meliputi lebih satu per tiga daripada keseluruhan jumlah kes berkenaan di seluruh dunia, setakat ini.

Minggu lalu, WHO melaporkan penurunan 21 peratus kes baharu cacar monyet di seluruh dunia, selepas ia meningkat selama empat minggu berturut-turut.

Bagi menghapuskan perebakan virus itu di Eropah, WHO menggesa negara-negara mengambil langkah antara lain terus melaksanakan langkah pemantauan, vaksinasi bersasar dan mengenal pasti kontak kes.

Related posts

Leave a Comment