Jangan asyik menuding jari – Muhyiddin

SEPANG 5 Dis. – Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berpesan kepada ahli-ahli politik Pakatan Harapan (PH) dan UMNO, supaya jangan asyik menuding jari kepada orang lain dengan “menuduh yang bukan-bukan”.

Katanya, tuduhan itu semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan yang baru berusia beberapa hari yang kelihatan masih belum ada idea bernas untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Awak dah jadi kerajaan, act like a government. Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka,” katanya dalam kenyataan melalui media sosial.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa, baru beberapa hari menjadi kerajaan, PH tanpa segan silu telah menggunakan pihak polis untuk menekan pemimpin yang tidak sehaluan dengan mereka.

“This is a clear attempt at silencing dissent. Ini berbeza sekali dengan janji reformasi institusi mereka untuk menjamin kebebasan institusi-institusi penting negara tanpa campur tangan politik termasuk PDRM,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak hairan dengan kemungkiran janji-janji mereka yang dibuat sebelum ini.

“Sebelum pilihan raya mereka bermati-matian menafikan akan bekerjasama dengan puak kleptokrat. Selepas pilihan raya, mereka tanpa segan silu berpeluk cium dan membentuk kerajaan bersama-sama, sehinggakan ada yang membuat parodi lagu “dulu benci penyamun, sekarang sayang penyamun”, katanya.

Beliau merujuk laporan polis berhubung dakwaan penyelewengan RM500 bilion dan arahan supaya polis menyiasat Abdul Hadi Awang atas dakwaan menuduh Perdana Menteri sebagai agen Israel.

Related posts

Leave a Comment