Cari mekanisme subsidi bersasar

KUALA LUMPUR 18 Julai – Kerajaan sedang mencari mekanisme paling sesuai dalam merangka subsidi bersasar demi untuk rakyat yang berhak menerimanya sekali gus mengelak ketirisan dan tiada golongan itu yang tertinggal.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata mekanisme itu memerlukan perincian dan bukan sesuatu yang mudah untuk ditentukan.

Katanya cadangan subsidi bersasar dicadangkan sejak beberapa kerajaan sebelum ini tetapi masih belum boleh dilaksana kerana belum ada mekanisme khusus untuk pastikan tidak ada rakyat yang tercicir dan tertinggal.

“Sebagai contoh), adakah kita perlu membeli gula atau minyak masak menggunakan kupon? Adakah kupon boleh digunakan atau menggunakan MyKad untuk membeli dan sebagainya. Ini yang sedang kita perincikan.

Ini kita akan bentangkan di sini, apakah cara yang kita gunakan untuk subsidi bersasar ini,” katanya di sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang bertanya mengenai tindakan kerajaan untuk menangani kenaikan kos sara hidup rakyat kerana mendakwa kerajaan mengambil pendekatan konvensional dan tidak ada persediaan untuk melakukan perubahan struktur.

Related posts

Leave a Comment