Muhyiddin sedia disisat dakwaan seleweng RM600 bilion

SEPANG 5 Dis. – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin tidak takut untuk disiasat berhubung dakwaan beliau menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM530 bilion semasa menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

“Saya tidak takut untuk disiasat kerana saya tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Bekas Perdana Menteri itu percaya Kementerian Kewangan khususnya Agensi LAKSANA mempunyai butiran perbelanjaan bagi semua lapan Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Katanya, negara mempunyai sistem dan amalan standard untuk menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan wang kerajaan dan perbelanjaan tertakluk kepada audit kerajaan.

“Jika terdapat penemuan audit yang mencurigakan, teguran boleh dibuat terhadap jabatan yang berkenaan dan jika terdapat salah laku rasuah atau penyelewengan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap si pelaku,” katanya.

Beliau merujuk kenyataan Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan daripada parti Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini yang telah membuat laporan polis kononnya beliau telah menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM500 bilion.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang baru dilantik sebagai Menteri Komunikasi Digital juga membuat tuduhan yang sama.

Sementara Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil pula menyokong penuh cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika kerajaan diterajui Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, beliau tidak pasti dari mana angka RM600 bilion itu diambil tetapi mungkin merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas semasa tempoh pandemik Covid-19.

Katanya, daripada keseluruhan RM530 bilion itu, sebahagian besarnya adalah berbentuk non-fiskal, iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Ini termasuk pengeluaran KWSP i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 bilion, pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion, moratorium bayaran pinjaman bank untuk individu dan syarikat bernilai RM180 bilion, jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion dan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan.

“Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan. Saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini,” katanya.

Beliau berkata kenyataan Menteri Kewangan pada 29 Jun 2021, menunjukkan perbelanjaan yang melibatkan wang kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal adalah bernilai RM83 bilion.

Perbelanjaan termasuk pembelian vaksin bernilai RM5 bilion dan pelbagai bentuk bantuan langsung tunai untuk rakyat seperti subsidi upah bernilai RM20.92 bilion, Bantuan Prihatin Nasional bernilai RM18.2 bilion, Geran Khas Prihatin bernilai RM4.21 bilion, Geran Khas Prihatin Permai bernilai RM842,000,000, Skim Pembiayaan Mudah Bumiputera bernilai RM500,000,000 dan bantuan-bantuan lain yang dimasukkan terus ke akaun penerima yang layak.

“Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya,” katanya.

Menurut Muhyiddin, jika hal ini berlaku, sudah tentu akan diketahui melalui penemuan audit oleh Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun dan
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pula sudah tentu membentangkan laporan mengenainya di Parlimen.

Malah kata Muhyiddin, Bank Negara Malaysia tentunya telah mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaunnya dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun yang lalu.

“Tetapi tidak ada apa-apa pun. Nak kata saya halang siasatan kerana saya Perdana Menteri pun tak betul. Kerana saya telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri lebih setahun yang lalu.

“Selain itu, kalau hal ini berlaku sekalipun, sudah tentu Pak Mat, Pak Jusoh, Mak Piah di kampung sedar wang yang sepatutnya mereka terima tak masuk ke dalam akaun mereka. Cuba tanya mereka. Dapat ke tidak duit itu.

“Tanya juga En Salim, Mr Lim, Mr Kumar mereka terima atau tidak subsidi upah yang disalurkan kepada syarikat-syarikat mereka. Kalau semua dapat, mana mungkin wang itu diseleweng oleh saya?,” katanya.

Related posts

Leave a Comment