Asas utama dasar luar kekal

PUTRAJAYA 5 Dis. – Menteri Luar Senator Dr. Zambry Abdul Kadir.berkata, asas-asas utama dasar luar Malaysia seperti dasar berkecuali dan kerjasama dengan negara-negara lain akan terus dikekalkan.

Beliau yang memulakan tugas rasminya di Wisma Putra hari ini berkata aspek-aspek lain yang berkaitan dasar luar memerlukan penjelasan dan penelitian mendalam daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.

Dr. Zambry berkata beberapa aspek akan menjadi keutamaan termasuk hubungan dengan negara-negara tertentu yang memerlukan tinjauan semula.

“Daripada segi fokus sama ada perlu diberikan kepada negara A atau negara B. Yang ini kita perlukan petunjuk daripada perdana menteri, termasuk isu-isu tertentu yang perlu ditangani,” katanya selepas majlis ramah mesra bersama warga Wisma Putra, di sini, hari ini.

Beliau mengambil contoh, hubungan dengan ASEAN, satu daripada dasar luar yang sangat penting untuk diberikan keutamaan, hubungan dengan negara-negara kuasa besar, Asia Barat dan sebagainya.

Mengenai isu-isu yang dekat dengan Malaysia seperti Palestin dan Myanmar, beliau berkata perkara berkenaan juga perlu dibincangkan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Zambry merupakan seorang daripada 25 menteri Kabinet baharu yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu.

Bekas Menteri Besar Perak itu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Perak bagi kawasan Pangkor, selama empat penggal sejak 2004.

Related posts

Leave a Comment