Tidak perlu lagi merengek, meroyan – Zahid

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Timbalan Perdana Menteri  Ahmad Zahid Hamidi meminta Muhyiddin Yassin supaya akur dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, Muhyiddin perlu menghormati segala pelantikan dan tindakannya serta sekutu yang cuba mempertikaikan segala pelantikan ini adalah gambaran wajah sebenar mereka yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

“Mahiaddin Yassin seolah-olah terus meroyan apabila gagal  dilantik sebagai Perdana Menteri dan tidak sampai 24 jam Kabinet angkat sumpah  Mahiaddin menuduh pembentukan kerajaan dan Kabinet tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat yang tidak mempunyai sebarang keabsahan,” katanya.

Dalam kenyataan melalui media sosial, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata Muhyiddin dan sekutunya perlu berasa malu dilihat terlalu gilakan kuasa hingga sanggup mempertikaikan keputusan institusi Raja-Raja Melayu .

Katanya, mereka perlu mencontohi parti DAP yang lebih mementingkan kepentingan negara daripada kepentingan parti dan individu, bergerak ke hadapan demi menjayakan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Mahiaddin lupa kuasa pelantikan Perdana Menteri ialah atas kuasa Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Pelantikan ini juga selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara membolehkan Baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat,” katanya.

Begitu juga pelantikan Kabinet di mana Perdana Menteri telah mempersembahkan senarai  semua ahli jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan bagi mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong barulah  diumumkan oleh Perdana Menteri. Ini berbeza dengan situasi pelantikan duta Indonesia suatu ketika dahulu yang seolah-olah tiada perkenan Istana Negara,” katanya.

Ahmad Zahid berharap Muhyiddin dan sekutu perlu belajar menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukannya merengek serta meroyan tidak dapat menerima hakikat beliau gagal menjadi Perdana Menteri dan gagal membentuk kerajaan.

“Kerajaan ini bukan kerajaan Pakatan Harapan tetapi Kerajaan Perpaduan hasil daripada gabungan parti terbesar dan parti-parti kecil lain yang memenangi pilihan raya bekerjasama dengan parti-parti lain untuk membina negara dan mentadbir lebih baik daripada kerajaan-kerajaan terdahulu,” katanya.

Ahmad Zahid turut mempertahankan Anwar sebagai Menteri Kewangan dan menyifatkan pengkritik tidak melihat keperluan semasa yang memerlukan Anwar yang dikenali berprestasi tinggi pernah menguruskan kewangan dan ekonomi Malaysia  pernah surplus budget, iaitu pendapatan melebihi perbelanjaan negara.

Katanya, Anwar pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik dunia oleh Euro Money Magazine, Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh Asia Money Magazine serta mendapat The Asian of The Year dan Malaysia mendapat gelaran The Asian Tiger kalangan negara Asia ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan.

Beliau percaya dengan pengalaman dan pencapaian itu akan meyakinkan pelabur asing  untuk membuat pelaburan apabila Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan.

“Rekod ini tidak pernah dicapai oleh Mahiaddin dan Mahiaddin sangat bermasalah mengurus negara dan dikenali sebagai kerajaan gagal.

“Kini Mahiaddin berdepan dengan pelbagai skandal dalam pengurusan negara ketika menjadi perdana menteri dan beliau sangat ketakutan dan terdesak untuk menjadi perdana menteri hingga sanggup melanggar adat dan adab membuat kritikan terhadap Istana Negara sejak awal proses menamakan Perdana Menteri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment