DAP sokong Anwar tanpa syarat

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Sokongan DAP terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebarang syarat, termasuk jumlah jawatan atau komposisi dalam Kabinet, kata Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, jika Anwar berjaya, bermakna Kerajaan Perpaduan ini berjaya, dan Malaysia akan berjaya.

“We have only one objective, one participation, that is to make sure, Anwar Ibrahim succeed in this government.

“Itu objektif penyertaan kita dalam kerajaan ini. We will do everything possible, segala yang boleh dan usaha bersungguh-sungguh, dalam mendokong kepimpinan beliau,” katanya pada satu sidang media semalam.

Loke berkata, kerajaan perpaduan ini merupakan model politik baharu , dan ia tidak mungkin berjaya jika semua pihak tidak berlapang dada, dan mempunyai semangat ‘give and take’ dalam urusan pentadbiran negara.

Beliau juga menegaskan DAP hanya akan menumpukan kepada agenda pembangunan dan pengurusan negara, terutamanya melalui penyertaan empat pemimpinnya dalam Kabinet.

Biarpun mendapat kritikan daripada penyokong tentang prinsip DAP dalam memerangi rasuah dan penyelewengan kuasa, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, kes peribadi mana-mana menteri adalah terpulang kepada bidang kuasa mahkamah.

Begitu juga, pelantikan mana-mana pemimpin, termasuk Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi adalah prerogatif Perdana Menteri iaitu Anwar Ibrahim, dan DAP sentiasa menghormati keputusan seperti itu.

“(Kes Ahmad Zahid) itu terpulang kepada mahkamah. Kita hanya bincangkan agenda negara, bukan kes masing-masing, ia tak akan disentuh, dibincang kes peribadi masing masing, tetapi hanya agenda untuk rakyat dan negara. Itu pendirian kita.

“Ini satu pendekatan politik baharu yang sama-sama kena belajar, bagaimana pupuk kerjasama antara satu sama lain. Sebab keputusan PRU menunjukkan kerajaan tidak boleh ditubuhkan tanpa kerjasama dengan parti lain, jadi ini usaha yang sama-sama mesti kita lakukan,” katanya.

Menurut Loke, kerajaan ini merupakan kerajaan perpaduan, dan perbincangan bukan dengan Ahmad Zahid semata-mata, tetapi dengan Barisan Nasional sebagai sebahagian daripada kerajaan di bawah pentadbiran Anwar.

Pengumuman Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Jumaat telah mengakibatkan Pakatan Harapan dan DAP menghadapi kritikan masyarakat, khususnya dari akar umbi sendiri, kerana ia bertentang dengan agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa parti itu.

Related posts

Leave a Comment