Permaisuri Agong hadir Malam BAKASA

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Majlis Malam Amal Badan Amal Kasih Sayang (BAKASA) dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT ATM) Festival Fesyen Islamik (IFF) 2022 di Dewan Perkasa Wisma Perwira, ATM, di sini, malam tadi.

Keberangkatan tiba Tunku Azizah pada pukul 8.30 malam disambut Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah, yang juga isteri kepada Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Menurut Facebook Selangor Royale Office, Malam Amal BAKASA dan BAKAT IFF 2022 ini adalah hasil inisiatif Tengku Muhaini.

Ia berjaya mengumpul dana sebanyak RM1.2 juta untuk disumbangkan kepada dua pertubuhan kebajikan BAKASA iaitu Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Afzan dan Pusat Inovasi Tengku Ampuan Afzan, serta untuk tujuan Program Transformasi BAKAT ATM.

Tunku Azizah turut merakam foto kenangan bersama tetamu kerabat diraja yang turut berangkat hadir antaranya Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sesi bergambar juga diadakan bersama pereka fesyen yang terbabit dalam pertunjukan itu, antaranya Rizman Ruzaini, Calvin Thoo, Nurita Harith, Rozita Che Wan dan koleksi pengasas IFF, Datuk Seri Raja Rezza Shah serta pereka fesyen dari Indonesia, Jeny Tjahyawati dan Ghea Panggabean.

Related posts

Leave a Comment