Sidang Parlimen September, Oktober

PUTRAJAYA 15 Jun – Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memberi komitmen bahawa sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP)..

Katanya, perkara itu adalah pendirian beliau sejak dari awal bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai apabila kes Covid-19 terkawal dan negara hampir mencapai imuniti kelompok.

Beliau turut menyuarakan tekad untuk terus mendukung prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi teras kedaulatan Malaysia.

Justeru beliau meminta jangan ada pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19.

“Saya akan terus mendukung prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.” katanya ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara, hari ini.

Muhyiddin berkata, pembukaan semula sidang Parlimen berupaya dilakukan menjelang fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara apabila beberapa keadaan semasa di dalam negara, khususnya berkaitan pandemik Covid-19 melakar perkembangan positif.

Katanya, ia merangkumi penurunan purata kes harian Covid-19 sehingga bawah 2,000 kes, manakala sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penyusutan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) ke paras mencukupi.

“Selain itu, 40 peratus populasi negara ini menerima dua dos suntikan vaksin. Nilai ambang fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara ini dijangka dapat dicapai paling awal akhir Ogos depan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang),  Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Parlimen tidak bersidang susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 11 Januari lalu memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.

Bagaimanapun, baginda pada 24 Februari lalu, bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah selama 29 hari hingga 17 Disember tahun lalu. Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 ketika itu meluluskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Perbekalan 2021.

Related posts

Leave a Comment