Polis siasat, Umrah DIY dakwa video lama

SEPANG 1 Dis. – Polis membuka kertas siasatan berhubung penyebaran klip video melalui media sosial yang menunjukkan sekumpulan individu menyanyikan lagu Negaraku dan bendera Malaysia dikibarkan bersama-sama bendera Israel.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata siasatan dijalankan ekoran daripada satu laporan polis yang diterima pada pukul 11.20 malam, kelmarin.

Menurut kenyataan beliau hari ini, pengadu memaklumkan dia melihat satu klip video berdurasi 47 saat berkaitan kejadian itu dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum tampil membuat laporan polis.

Kenyataan itu menyebut hasil siasatan awal mendapati kejadian dalam klip video itu berlaku pada September 2022, ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke sebuah negara bersama dengan agensi pelancongan.

Menurut Ku Mashariman, satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan sebarang bahan berkaitan kejadian itu menerusi mana-mana platform.

“Ini bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis serta menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Sementara itu Umrah DIY melalui kenyataan di media sosial menjelaskan video tular itu adalah ketika pelayaran mengelilingi Tasik Galilee atau Tiberias, Palestine sewaktu Trip Mega 1.0 (Umrah DIY Jordan Palestine) yang lalu.

Umrah DIY kesal dan terkilan  kerana klip video berkenaan dimanipulasi oleh individu atau pihak tertentu untuk kepentingan masing-masing.

“Kami ingin menafikan video tersebut bukan diambil selepas PRU 15 yang lalu dan menegaskan ia adalah video lama, diambil pada bulan Disember 2019 yang lepas dan tiada sebarang kaitan dengan Kerajaan Malaysia mahupun Israel sama ada kerajaan dahulu atau yang sekarang.

“Bagi mereka yang pernah mengikuti lawatan ke Palestine dan menaiki bot mengelilingi Tasik Galilee kebiasaannya akan melalui detik pengalaman yang serupa seperti mana yang telah kami lalui ketika itu

“Ia berlaku secara spontan tanpa kami ketahui dari awal. Sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik kami lantas bangun berdiri apabila lagu Negaraku dikumandangkan walau di mana  jua kami berada,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment