UEC : Dong Zong ajak bincang secara akademik

KAJANG 30:Nov. – Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sedia berdialog dan berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat bagi mendalami  pelbagai isu pendidikan secara rasional dan pragmatik.

Ini termasuk isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) yang diperbesarkan dan digembar-gemburkan secara berlebihan dengan cubaan mencetuskan konflik sosial, permusuhan dan sengketa.

Dong Zong dalam kenyataannya semalam memahami kebimbangan masyarakat Melayu dan atas dasar itu, pihaknya sudi berdialog serta berbincang untuk meningkatkan pemahaman mengenai UEC.

Pada masa yang sama Dong Zong menyeru pelbagai pihak supaya tidak menjadikan UEC sebagai alat politik yang sengaja digembar-gemburkan secara berlebihan sebagai isu kaum yang cuba mewujudkan permusuhan dan persengketaan.

“UEC adalah pentaksiran akademik, serupa dengan pentaksiran STPM, IB, A-Level dan sebagainya. UEC bukan petunjuk politik, oleh itu ahli politik tidak boleh menginterpretasikan UEC sewenang-wenangnya secara berlebihan untuk kepentingan peribadi.

“Sudah tentu, kami sememangnya dengan rendah hati menerima sebarang kritikan dan tunjuk ajar berkenaan kurikulum SMPC dan akan berusaha untuk penambahbaikan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tidak kira parti politik mana menjadi kerajaan, pendirian Dong Zong adalah untuk membantu pembangunan modal insan, dan bertegas untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC secara akademik dan profesional.

Sabtu lalu, Dong Zong sekali lagi membangkitkan gesaan yang pernah dibuat ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), dua tahun lalu supaya UEC diiktiraf dan kemudiannya mencetuskan kemarahan beberapa pihak.

Dong Zong juga menjelaskan mesyuarat bersama ahli-ahli persatuan yang diadakan  beberapa hari lalu merupakan salah satu mesyuarat tahunan yang mengumpul pandangan ahli-ahli persatuan terhadap isu pendidikan.

Mesyuarat meluluskan 11 resolusi yang antaranya berkait rapat dengan kemakmuran negara, sistem pendidikan, hak dan kepentingan pendidikan pelbagai kumpulan etnik dan lapisan masyarakat termasuklah penubuhan Ombudsman Pendidikan.

Begitu juga resolusi berkaitan merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, penggubalan dasar pendidikan yang menyokong kepelbagaian budaya dan aliran sekolah, serta layanan yang adil kepada semua aliran sekolah.

Dong Zong juga menjelaskan, semua kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), termasuk mata pelajaran Sejarah digubal dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran, yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.

Kurikulum SMPC juga menetapkan bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan keadaan kepelbagaian pendidikan di negara ini.

Dong Zong dalam kenyataan itu juga bersetuju bahawa Kerajaan Perpaduan harus

memberi keutamaan untuk melaksanakan langkah yang bermanfaat kepada rakyat, mengadakan tadbir urus yang baik dan berintegriti dan memulihkan kebebasan kehakiman.

Selain itu, katanya, Kerajaan Perpaduan perlu meringankan beban hidup rakyat dan merangsangkan pembangunan ekonomi, memupuk dialog yang rasional, menyatupadukan hati rakyat dan tidak menghampakan mandat rakyat.

“Dong Zong menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyokong kerajaan baharu untuk mengutamakan pemulihan ekonomi negara, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memupuk keharmonian sosial,” katanya.

Related posts

Leave a Comment