Hormati sistem perkhidmatan awam

PUTRAJAYA 29 Nov. – Menteri yang bakal dilantik menganggotai Kabinet dalam masa terdekat diingatkan supaya menghormati sistem perkhidmatan awam sebagai tonggak dalam pentadbiran kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengingatkan, menteri dan penjawat awam saling memerlukan kerana masing-masing memiliki kepakaran khusus untuk digunakan dalam menguruskan pentadbiran kerajaan.

Katanya, adalah mustahak untuk mendengar pandangan daripada pegawai kerana mereka berpengalaman dan memiliki kepakaran tertentu untuk membantu seseorang menteri.

“Saya alami pengalaman di banyak kementerian, kebudayaan, belia dan sukan, pertanian, pendidikan dan kewangan.

“Di beberapa institusi itu, saya boleh manfaat. Pertamanya mendengar pandangan daripada pegawai, penjawat awam terutama yang mempunyai pengalaman lama dalam bidang pengkhususan mereka.

“Kalau pun saya membuat beberapa cadangan balas atau teguran, hanya setelah saya menghadap apa yang telah berlaku berdasarkan pengalaman mereka,” katanya pada perhimpunan bulanan di Dataran Perdana Putra di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau tidak akan menjadikan perhimpunan bulanan dengan penjawat awam satu-satunya saluran untuk memperoleh input berkenaan.

“Saya berhajat insya-Allah tidak hanya menggunakan majlis seperti ini (perhimpunan bulanan). Tetapi saya akan turun ke jabatan. Jangan ingat saya nak check (periksa). Itu kerja KSN (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali).

“Saya pergi untuk kenal, mendapatkan nasihat dan pandangan kerana hanya dengan ini, menganggap satu keluarga …baru kita boleh bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Sebelum ini Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Borhan Dolah menggesa supaya tiada campur tangan politik dalam perkhidmatan awam  bagi meminimumkan risiko rasuah dalam institusi berkenaan.

Beliau berkata ia bagi memastikan perkhidmatan awam dapat melaksanakan tugas mengikut landasan tepat, tanpa sebarang kacau ganggu daripada mana-mana pihak.

Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam itu berkata, Kerajaan Perpaduan wajar membawa kembali draf Akta Perkhidmatan Awam untuk dibentang dan diluluskan, bertujuan memberi perlindungan kepada institusi perkhidmatan awam.

Related posts

Leave a Comment