Tidak minat korek kisah lampau pentadbiran

PUTRAJAYA 29 Nov. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak berminat untuk mengorek kisah lampau dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini kerana yang lebih penting adalah mengembalikan imej perkhidmatan awam ke tahap lebih tinggi.

Katanya, keadaan mesti berubah, termasuk perkhidmatan awam dan pimpinan di kementerian dan jabatan.

“Saya harap saudara bekerja dan hormati disiplin jika saudara lihat ada kelonggaran, kecuaian sebelumnya itu sejarah lampau. Bukan bermaksud saya untuk mengorek kisah lama. Tetapi yang penting adalah ke depan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan di Dataran Perdana Putra di Putrajaya hari ini, kali pertama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu.

Beliau juga menegaskan adalah penting untuk penjawat awam bersamanya untuk membina semula negara, bukan bersama daripada segi fahaman politik tetapi dari segi profesionalism yang mesti ditegakkan sebagai tonggak dalam pentadbiran.

“Saya merayu supaya bersama-sama dalam minat, semangat untuk membawa islah, perubahan ke arah kebaikan. Tidak mungkin saya berjaya sekiranya tonggak perkhidmatan awam ini tidak sepenuhnya bersama saya.

“Bukan semestinya dalam erti kata jalur politik tetapi jalur perkhidmatan yang harus bebas, profesional dan terikat dengan semangat ikrar kita untuk menjadi manusia yang berguna kepada keluarga dan masyarakat,” katanya.

Anwar juga menegaskan bahawa beliau lebih cenderung menggunakan kuasa demi memanfaatkan rakyat dan bukan untuk memperkayakan keluarga mahupun kroni.

“Ini adalah pendirian yang saya pegang dan konsisten. Saya ingin nyatakan bahawa hidup saya bergelora, pasang surutnya tetapi suatu hal yang saya sangat konsisten ialah menggunakan kuasa untuk memanfaatkan rakyat terbanyak, bukan untuk memperkayakan dua tiga kerat keluarga atau kroni,” katanya.

Bekas Menteri Kewangan pada 1991 itu, Anwar turut menyingkap arahan pertamanya iaitu melarang keluarga atau rakan terdekat diberikan kepentingan membabitkan sebarang kelulusan projek kerajaan.

Apa yang dilakukan itu tegasnya adalah kerana kerajaan memerlukan tata kelola yang baik dan bukannya penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pimpinan atasan sehingga berleluasa merosakkan sistem dalam pentadbiran negara.

“Negara ini rosak bukan kerana perkhidmatan awam. Seperti yang kita lihat contohnya MAS (Malaysia Airlines), apa masalahnya? Perkhidmatannya sangat baik, pengurusan baik, pengurus jenteranya baik.

“Yang lemah itu adalah pengurusan di atas dan akibatnya kerugian kepada ramai keluarga dan kesan kepada negara serta imej keyakinan negara,” katanya.

Perdana Menteri juga menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah berleluasa.

“Soal perolehan, kelulusan tanpa tender ini tidak boleh lagi terus dengan mengizinkan kebocoran, ketirisan dan rasuah. Ini tidak boleh lagi dan harus berlaku di semua peringkat.

“Untuk peringkat awal ini, saya ingin menggesa dan mengajak saudara (penjawat awam) untuk sama-sama dalam pasukan ini,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, setiap penjawat awam perlu bersiap sedia untuk menghadapi masa depan termasuk melihat apa yang boleh dan tidak boleh lagi dilakukan.

Related posts

Leave a Comment