Pembentukan Kabinet ambil sedikit masa

PETALING JAYA 28 Nov. – Ketika tular pelbagai laporan mengenai senarai Kabinet baharu (Foto) hakikatnya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, perlu mengambil sedikit masa susulan pembentukan Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai saiz lebih kecil.

Anwar berkata, pembentukan Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan akan dimuktamadkan dalam kadar segera selepas mendengar pandangan semua pihak termasuk parti yang membentuk kerajaan berkenaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ia perlu dilakukan secara teliti dan pihaknya tidak sanggup pembentukan Kabinet sekadar hanya mengisi kuota.

“Sesegera mungkin seperti mana yang saya sebut, tidak seperti biasa, Kerajaan Perpaduan ini membabitkan banyak parti.

Jadi sebelum membuat keputusan, saya mesti dengar semua pandangan dan kemudian masalahnya kerana Kabinet dikecilkan.

“Kalau dulu masuk saja, 50, 60, 70 (jumlah menteri) okay…tak cukup lagi (walaupun jumlah ramai, lantik pula) duta khas, penasihat khas, saya tidak sanggup berbuat begitu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH, di sini.

Mengenai desakan supaya jemaah Menteri yang dilantik kelak bebas kes mahkamah, Anwar berkata, mana-mana individu hanya didapati bersalah apabila selesai dijatuhi hukuman.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum memutuskan mengenainya.

“Pandangan semua, kita ambil kira. Ia dalam perbincangan tetapi seperti mana yang kita tahu dari segi undang-undang hanya setelah ada hukuman (didapati bersalah).

Yang lain itu kita akan beri pertimbangan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment