Cacar monyet kini dinamakan ‘mpox’

GENEVA 28 Nov. – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan hari ini, cacar monyet akan dinamakan mpox dalam bahasa Inggeris, dalam usaha untuk mengelakkan stigma yang berpunca daripada nama sedia ada.

Agensi kesihatan PBB itu dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas beberapa siri perundingan dengan pakar global.

“WHO akan mula menggunakan istilah pilihan baharu ‘mpox’ sebagai sinonim untuk cacar monyet. Kedua-dua nama itu akan digunakan serentak selama setahun, manakala ‘cacar monyet’ ditamatkan secara berperingkat.

“WHO akan mengguna pakai istilah mpox dalam komunikasinya, dan menggalakkan orang lain mengikuti cadangan ini, untuk meminimumkan sebarang kesan negatif yang berterusan daripada nama semasa dan daripada penggunaan nama baharu itu.”kata kenyataan itu.

Cacar monyet menerima namanya kerana virus itu pada asalnya dikenal pasti dalam monyet yang disimpan untuk penyelidikan di Denmark pada tahun 1958, tetapi penyakit itu ditemui pada beberapa haiwan, dan paling kerap pada tikus.

Penyakit itu pertama kali ditemui pada manusia pada tahun 1970 di Republik Demokratik Congo, dengan penyebaran dalam kalangan manusia sejak itu terutamanya terhad kepada negara Afrika Barat dan Tengah tertentu di mana ia endemik.

Namun, pada bulan Mei, kes-kes penyakit itu, yang menyebabkan demam, sakit otot dan lesi kulit yang besar seperti bisul, mula merebak dengan cepat di seluruh dunia, terutamanya dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

Setakat ini, kira-kira 81,107 kes dan 55 kematian telah dilaporkan kepada WHO tahun ini, dari 110 negara.

Related posts

Leave a Comment